≡ Menu

Hari AIDS Sedunia 2010

Gen-Y-latest-offer

ACT AWARE Banner MONO SMALL

Hari AIDS Sedunia 2010 – Rampai Pagi (Selasa, 30 November 2010)

1. Tiap-tiap tahun pada 1hb Disember diperingatkan sebagai Hari AIDS Sedunia atau World AIDS Day. Pada tahun ini tema Hari AIDS Sedunia ialah “Universal Access and Human Rights” atau “Akses Universal dan Hak Asasi Manusia”. Apakah tujuan Hari AIDS Sedunia diperingati?

Hari AIDS Sedunia diperingati oleh ramai orang di seluruh dunia pada tiap-tiap 1 Disember untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV/ AIDS dan untuk menunjukkan bahawa dunia bersepadu di dalam menangani wabak HIV yang telah melanda dunia semenjak 25 tahun lebih kebelakangan ini. Hari ini merupakan salah satu daripada peluang yang jelas bagi pihak kerajaan dan pihak swasta untuk meningkatkan kesedaran mengenai wabak ini dan menggalakkan kemajuan di dalam pencegahan, penjagaan dan rawatan HIV/AIDS di seluruh dunia.

2. Bagi penonton kita yang kurang memahami mengenai AIDS ini, apakah dia AIDS?

AIDS adalah singkatan untuk Acquired Immunodeficiency Syndrome. AIDS muncul apabila sistem imun/ketahanan tubuh tidak berfungsi lagi secara sepatutnya dan lebih mudah untuk mendapat jangkitan penyakit-penyakit lain dan juga kanser. Ianya boleh mengambil masa 5 ke 10 tahun sebelum seorang yang dijangkiti HIV mendapat AIDS tetapi kadang kalanya lebih cepat daripada itu.

3. Jadi, apakah perbezaan di antara HIV dan AIDS?

HIV ialah singkatan untuk Human Immunodeficiency Virus, iaitu virus yang menyebabkan AIDS. Apabila dijangkiti virus ini, virus HIV menyerang sistem imun/ketahanan tubuh dan menyebabkan kerosakkan pada sistem ketahanan badan dan kemampuannya untuk melawan penyakit-penyakit dan jangkitan lain. Jangkitan HIV tidak semestinya bermakna seseorang itu mengidap AIDS, walaubagaimanapun jika tidak diberi rawatan sudah tentunya pesakit akan mengidap AIDS. Di sebaliknya, setiap pesakit AIDS sememangnya telah dijangkiti virus HIV.

4. Adakah rawatan untuk HIV?

Setakat ini belum lagi ada rawatan yang boleh merawat HIV dengan sepenuhnya. Bagaimanapun, ada berbagai ubat yang dapat mengawalnya dan mengurangkan kerosakkan kepada sistem ketahanan badan. Jenis ubat ini dipanggil rawatan “antiretroviral” ataupun ARV. Berbanding dengan tahun-tahun yang lalu di mana diagnosis HIV bererti mereka akan hidup tidak lama lagi, dengan rawatan ini, seseorang yang dijangkiti HIV jika mendapat rawatan awal dijangka dapat hidup lebih kurang secara normal. Bagaimanapun, ini hanya dapat dicapai jika didiagnosa atau dikenalpasti pada tahap awal, pesakit itu memakan ubat secara diarahkan oleh doktor untuk seumur hidup. Ubat-ubatan ini juga mempunyai kesan sampinan yang kurang baik. Inilah merupakan salah satu daripada isu yang dimaksudkan tema hari AIDS sedunia tahun ini “Akses universal” supaya mereka yang memerlukannya berhak untuk mendapat rawatan ini. Alhamdulillah di Negara Brunei Darussalam, pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang DI Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan ada menyediakan rawatan ini secara percuma kepada semua rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

5. Bagaimanakah kita boleh mengetahui seseorang itu dijangkiti HIV?

Ramai orang yang dijangkiti HIV tidak mempunyai sebarang gejala dan cara untuk mengenalnya dengan pasti ialah melalui ujian darah. Oleh itu kita perlu mengambil tindakan berwaspada untuk mencegah daripada dijangkiti HIV kerana HIV tidak mengira umur, rupa atau status seseorang itu. Dalam pada itu juga kita perlu mengingati supaya tidak menjauhi dan mengasingkan mereka yang dijangkiti HIV. Mereka yang dijangkiti HIV terdedah kepada banyak stigma dan diskriminasi dari pihak awam dan adalah penting supaya mereka diberi sokongan yang berpatutan dan tidak diasingkan. Inilah yang dimaksudkan oleh tema kedua hari AIDS sedunia tahun ini Hak Asasi Manusia di mana mereka yang hidup dengan HIV dapat hidup di persekitaran bebas dari stigma dan diskriminasi. Kebanyakkan stigma dan diskriminasi ini berasaskan salah tanggapan orang ramai melalui cara jangkitannya.

6. Bagaimanakah HIV itu berjangkit?

HIV berjangkit melalui 4 cara utama:

  • Melalui hubungan seks tidak selamat dengan pasangan yang dijangkiti
  • Melalui perkongsian jarum suntikan dengan orang yang dijangkiti
  • Melalui ibu yang dijangkiti kepada anak dalam kandungan dan semasa melahirkan
  • Melalui pemindahan produk darah atau organ yang dicemari

7. Saya difahami tidak ramai kes HIV yang terdapat di Negara Brunei Darussalam?

Hingga 31 Oktober 2010, terdapat 59 kes jangkitan HIV di Negara Brunei Darussalam, yang mana 3 daripada kes-kes tersebut telah dilapurkan pada tahun ini. 44 orang terdiri daripada lelaki dan 15 orang wanita. Manakala, golongan terbesar adalah terdiri daripada mereka yang berumur 20 – 29 tahun (20 orang) diikuti dengan 13 orang di kalangan umur 30 – 39 tahun dan 13 orang lagi di kalangan 40 – 49 tahun.

8. Apakah aktiviti-aktiviti yang akan diadakan untuk memperingati Hari AIDS Sedunia di Negara Brunei Darussalam pada tahun ini?

Aktiviti-aktiviti yang akan diungkayahkan pada tahun ini akan terus menumpukan perhatian terhadap meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai amnya dan belia remaja khususnya mengenai jangkitan HIV dan cara-cara mencegahnya. Oleh itu, sebuah kempen kesedaran selama satu bulan mulai 1 – 31 Disember 2010 akan dianjurkan bersama oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis AIDS Brunei Darussalam. Kempen ini akan menggunakan Info-Kad yang akan diletakkan di meja-meja makan di sebilangan restoran-restoran dan premis makan di seluruh Negara. Info-Kad tersebut memaparkan sedikit maklumat mengenai jangkitan HIV/AIDS serta seruan untuk mengongsikan maklumat tersebut dengan keluarga dan rakan-rakan. Ianya juga dilengkapi dengan talian telefon HealthLine 145 dan laman web Kementerian Kesihatan dan Majlis AIDS Brunei Darussalam serta blog yang boleh dilayari untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Pada blog yang baru dihasilkan terdapat juga risalah-risalah kesihatan mengenai jangkitan HIV/AIDS dan jangkitan hubungan seks yang dapat dimuat-turun oleh pengunjung-pengunjung.

Bagi tujuan pengagihan Kad-Info tersebut di atas, satu Majlis Penyerahan Kad-Info kepada pemilik/pengurus restoran akan diadakan pada hari Rabu, 1 Disember 2010/24 Zulhijjah 1431, jam 2.00 petang bertempat di Studio 1, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Tetamu Kehormat di majlis itu nanti ialah Datin Paduka Dr Hjh Intan binti Hj Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional & Teknikal), Kementerian Kesihatan. Pada masa yang sama, satu taklimat mengenai situasi terkini mengengai HIV/AIDS di Negara Brunei Darussalam juga akan disampaikan semasa majlis itu nanti.

Aktiviti-aktiviti lain termasuklah Kuiz HIV/AIDS anjuran Standard Chartered Bank yang dibukakan kepada orang ramai dalam Media Permata/Borneo Bulletin, iaitu selama 4 hari bermula daripada 29 November 2010 hingga 2 Disember 2010 dan juga Khutbah Jumaat, yang mana akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti oleh Jabatan Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

9. Apa boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada terjangkitnya penyakit HIV?

Saya ingin menekan (sekali lagi) bahawa di Negara Brunei Darussalam, kebanyakkan jangkitan berlaku melalui hubungan heteroseksual oleh itu, adalah disarankan terutama sekali kepada belia remaja – elakkan daripada melakukan seks rambang atau seks yang tidak selamat dan juga elakkan daripada pengambilan dadah dan bagi yang sudah berpasangan atau berumahtangga, setialah sentiasa kepada pasangan biskita.

Comments on this entry are closed.

%d bloggers like this: